Kerjaya kelab Alphonse Areola

Paris Saint-Germain

Kerjaya awal

Areola memulakan kerjaya bola sepaknya ketika semasa beliau baru berusia enam tahun di kelab Entente Sportive des Petits Anges. Beliau menghabiskan masa selama tujuh tahun di kelab kampungnya itu sebelum berpindah ke kelab Ligue 1, Paris Saint-Germain. Ketika Areola berusia 15 tahun, beliau telah mendaftarkan diri di pusat bola sepak Clairefontaine untuk kembangkan bakatnya atas nasihat jurulatihnya di Paris. Beliau kembali ke PSG pada tahun berikutnya dan menandatangani kontrak profesional pertamanya pada Julai 2009 selama tiga tahun.[5][6]

Pada 18 Mei 2013, selepas melalui progres menempuh akademi kelab, Areola melakukan penampilan sulungnya untuk PSG dengan menggantikan penjaga gol utama pasukan, Salvatore Sirigu pada minit ke-48 permainan ketika pasukannya mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Brest. PSG dinobatkan sebagai juara Ligue 1 sebelum perlawanan itu manakala lawannya pula telah disahkan tersingkir ke divisyen kedua.[7] Beliau beraksi sebagai kesebelasan utama pasukan pada hujung minggu berikutnya dalam aksi kemenangan 3-1 ke atas Lorient. Beliau beraksi selama 61 minit pada perlawanan terakhir musim itu sebelum digantikan oleh penjaga gol keempat pasukan, Ronan Le Crom yang kemudiannya dibuang padang kerana mengasari Julien Quercia.[8]

2013–16: Dipinjam ke Lens, Bastia dan Villarreal

Areola sedang beraksi untuk Lens.

Pada 23 Julai 2013, beliau telah dipinjamkan ke kelab Ligue 2, RC Lens yang dikendalikan oleh bekas pengurus PSG, Antoine Kombouaré untuk menghadapi musim 2013-14.[9] Areola dengan segeranya menggantikan tempat Rudy Riou sebagai penjaga gol utama kelab sebelum beraksi dalam 36 perlawanan liga termasuklah melakukan penampilan sulungnya di kejohanan Coupe de France. Beliau membantu pasukannya menghuni tangga kedua liga sekali gus mengesahkan kelayakan mereka ke Ligue 1 untuk musim depan.[10] Persembahan Areola pada sepanjang musim telah membolehkannya untuk meraih anugerah Penjaga Gol Terbaik Ligue 2 dan mendapat tempat dalam Pasukan Terbaik Musim.[11] Beliau juga telah dianugerahkan "Eurosport Revelation of the Year" dengan menewaskan calon pilihan seperti N'Golo Kante dan Gaëtan Bussmann.[12] Satu rundingan secara lisan telah diadakan untuk memastikan Areola kekal bersama skuad Sang et Or secara pinjaman untuk musim berikutnya tetapi kedudukan kewangan kelab berkenaan Direction Nationale du Contrôle de Gestion yang dibangkitkan telah membawa kepada kemungkinan untuk memulangkan Areola semula.[13]

Areola diberi peluang untuk beraksi di Ligue 1. Namun, kelab Bastia di bawah pengurusan Claude Makelele telah mendapatkan khidmat Areola secara pinjaman untuk kempen 2014-15 apabila rundingan itu berjaya dilengkapkan pada 26 Julai 2014.[14][15] Dengan menggantikan tempat pemain Mickaël Landreau yang telah pun bersara, beliau melakukan penampilan pertamanya untuk Bastia pada 9 Ogos dalam aksi terikat seri 3-3 menentang Marseille.[16][17] Areola seterusnya melakukan 39 penampilan dalam semua kejohanan untuk kelab dan berjaya menghasilkan 13 jersi bersih tanpa bolos selain menyaksikan Bastia menduduki tangga ke-12 liga dan menjadi naib-juara dalam kejohanan Coupe de la Ligue.[18] Perlawanan akhir yang berlangsung pada 11 April itu menyaksikan pertembungan antara Bastia dan kelab induk Areola, PSG. Perlawanan itu berkesudahan kemenangan 4-0 memihak kepada Paris.[19]

Pada 17 Jun 2015, kelab dari La Liga iaitu Villarreal telah mengumumkan bahawa pihak kelab telah menandatangani Areola melalui pinjaman selama satu musim penuh untuk menggantikan penjaga gol utama, Sergio Asenjo yang menjadi kecederaan jangka masa panjang pada musim yang lalu.[20] Beliau melakukan penampilan pertamanya untuk Villarreal pada perlawanan pembukaan musim menentang Real Betis yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.[21] Di Villarreal, Areola mengembangkan reputasi bakatnya apabila menghasilkan 15 jersi bersih dalam 37 perlawanan dengan hanya 26 jaringan gol dibolosi sekali gus menyaksikan pasukannya itu menghuni tangga keempat di La Liga.[22] Rekod jersi bersihnya dalam saingan liga hanya dapat ditandingi oleh hanya dua orang penjaga gol sahaja iaitu Jan Oblak dari Atlético Madrid dan Claudio Bravo dari Barcelona.[23] Areola juga berjaya memecahkan rekod kelab dengan tidak dibolosi selama 620 minit sekali gus menewaskan rekod 615 minit tanpa dibolosi yang dipegang sebelum ini oleh Diego López.[24] Di luar bola sepak domestik, pemain asal Perancis itu juga tampil dalam kejohanan Liga Europa buat kali pertama dalam kariernya dengan melakukan lima kemunculan untuk El Submarino Amarillo yang mara hingga ke peringkat separuh akhir sebelum kecundang kepada pasukan naib-juara kejohanan, Liverpool.[25]

Kembali ke PSG

Selepas menempuh karier yang cemerlang di Sepanyol, Areola kembali ke PSG untuk menghadapi musim 2016-17. Beliau memulakan kempen ini sebagai bakal pengganti kepada penjaga gol Jerman, Kevin Trapp yang telah menjadi pemain PSG pada musim lepas.[26] Areola melakukan kemunculan sulungnya sejak kepulangannya dari tempoh pinjaman pada 13 September dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Arsenal. Perlawanan itu juga merupakan penampilan sulungnya di kejohanan itu dan tamat dengan keputusan seri 1-1.[27] Selepas perlawanan itu, Areola meletakkan dirinya sebagai penjaga gol utama PSG dan beliau berjaya menghasilkan empat jersi bersih dalam lapan penampilannya pada pertengahan bulan Oktober. Walau bagaimanapun, prestasinya mula merosot tidak lama kemudian menyebabkan beliau kehilangan tempat kepada Trapp selepas beberapa perlawanan yang menyaksikan beliau dibolosi sepuluh jaringan gol daripada sebelas tendangan yang dibuat pada bulan Disember.[28] Pada bulan April, beliau hanya memanaskan bangku simpanan sahaja pada aksi menumpaskan Monaco 4–1 untuk menjulang trofi Coupe de la Ligue buat kali keempat berturut-turut. Beliau kemudiannya beraksi dalam perlawanan menewaskan Angers 1-0 bagi membolehkan PSG merangkul gelaran Coupe de France pada bulan berikutnya.[29][30]

Pada musim berikutnya, Areola meraih pingat Trophée des Champions keduanya pada 29 Julai 2017 selepas beraksi menewaskan Monaco 2-1 selain menyaksikan PSG meraih gelaran itu buat kali kelima berturut-turut.[31][32] Beliau meneruskan kempen sebagai penjaga gol utama PSG untuk saingan liga dan kejohanan Eropah manakala Trapp pula dipilih untuk beraksi dalam kejohanan piala domestik. Apabila Areola menjadi pilihan utama sebagai penjaga gol pasukannya, PSG hanya dibolosi satu jaringan pada lima perlawanan terawal selain menghasilkan 24 gol sekali gus menyaksikan pasukannya yang menjaringkan gol terbanyak dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim itu.[33] Pada 31 Mac 2018, dalam aksi ulangan final musim yang lalu, Areola tidak beraksi dalam perlawanan itu yang menyaksikan PSG mempertahankan gelaran sebagai juara Coupe de la Ligue dengan menumbangkan Monaco 3–0.[34] Pada musim berikutnya iaitu pada 15 April, beliau beraksi dalam pertembungan menentang Monaco sekali lagi dan berkesudahan PSG menundukkan juara liga itu dengan keputusan 7-1 sekali gus merebut gelaran Ligue 1.[35] Kelab itu juga melengkapkan "treble" domestik pada 8 Mei selepas mengalahkan pasukan dari divisyen ketiga, Les Herbiers untuk menjulang trofi Coupe de France buat kali keempat berturut-turut walaupun Areola tidak beraksi dalam perlawanan akhir tersebut.[36]

Areola telah digugurkan peranannya pada musim berikutnya selepas PSG mengikat penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon dari Juventus.[37] Areola tampil dalam perlawanan ke-100nya untuk PSG pada 21 April 2019 ketika menewaskan Monaco 3-1. Perlawanan itu juga mengesahkan kejayaan PSG merangkul kejuaraan liganya buat kali kelapan.[38]

Real Madrid

Pada 2 September 2019, Areola telah menyertai Real Madrid secara pinjaman selama satu musim penuh sebagai sebahagian daripada rundingan perpindahan Keylor Navas ke PSG.[39][40][41] Beliau melakukan penampilan sulungnya untuk kelab itu pada 25 September dengan meraih kemenangan 2–0 ke atas Osasuna dalam aksi liga.[42]

Rujukan

WikiPedia: Alphonse Areola http://www.africatopsports.com/2013/07/11/alphonse... http://bleacherreport.com/articles/2372385-alphons... http://bleacherreport.com/articles/2671998-alphons... http://kwese.espn.com/football/paris-saint-germain... http://www.espnfc.com/club/paris-saint-germain/160... http://www.espnfc.com/club/paris-saint-germain/160... http://www.espnfc.com/spanish-primera-division/mat... http://www.espnfcasia.com/club/paris-saint-germain... http://www.fifa.com/worldfootball/statisticsandrec... http://www.fourfourtwo.com/news/areola-completes-b...